Sunday, 27 October 2019

angkara siapakah


siapakah yang memberikan api kepada anak kecil ini
lantas  api itu meratah jiwanya yang kosong
pada saat dia tiada siapa-siapa
pada saat dunianya sepi
ketika dia teraba-raba mencari  jalan kehidupan
ketika dia menghulur tangan untuk berpaut
dia diracuni dengan gula-gula kehidupan
dia dimabukkan dalam pesta irama cinta
sehingga rebah dia dalam lumpur hanyir.

Pada saat kesakitannya
siapakah  pula yang  berkirim doa
sehingga mampu meredah kepekatan malam
sehingga ditemukan jalannya untuk pulang
sehingga mampu membalut dan menutup segala belirat luka pada hati dan jiwanya
sehingga bisa mengheret tubuh kecilnya ke rumah Tuhan

Pada setiap  untaian air mata anak kecil ini
adalah doa dan  penyerahannya pada Yang Esa
dihantar segala dendam dan lukanya
kerana pasti tidak akan ada gembira walaupun ada ketawa
kerana pasti tidak akan ada bahagia meskipun tampak ceria
hingga  terlerai harapnya dalam  memaknai  alur perjalanan
kehidupan hanyalah cermin dan kaca-kaca yang telah berderai
bersama kesakitannya yang tidak pernah sembuh
angkara siapakah...

Friday, 18 October 2019

H A T I



hati adalah  sekeping hamparan  yang panjang dan luas
apabila terbentang hamparan hati terpaparlah segala warna-warni dan calar balar yang ada
apabila tergulung hamparan itu, maka tersimpanlah segala cerita yang ada padanya.


Thursday, 17 October 2019

debu abu


Pernahkah melihat debu-debu pada abu
asalnya pohon tempat bernaung, bermain dan bersandar lelah
tanpa sedar ditarah berdarah sehingga rebah

jika ada alur simpati pada hati insani manusiawi
pasti tidak dibakar pohon yang pernah menjadi tempat naungan
pasti tidak dibakar pohon yang menjadi termpat bermain
pasti tidak dibakar pohon yang menjadi tempat bersandar lelah
sehingga pohon hijau menjadi debu-debu pada abu

Pernahkah melihat debu-debu pada abu
kemudian ia menyala dan kembali membakar
walaupun  hanya tampak debu-debu semata

CIK BUNGA


Cik Bunga
Indah pada nama
Indah pada kelopak-kelopak segar
Indah dengan harumnya bau
Indah dengan impian dan harapan

Cik Bunga
Teruslah mengukir senyum
pada alam, pada mentari dan pada bulan
agar dapat membangkitkan cinta  dan rasa bahagia
agar dapat membahagiakan... 

Friday, 4 October 2019

aku ingin pulang




Hantarkan aku pulang
kerana aku telah lama di sini
melihat jalan-jalan yang simpang siur
merakam pertemuan dan perpisahan
mengira putaran detik waktu

Hantarkan aku pulang
Kerana aku kian lelah di sini
jemariku luka berdarah menganyam tikar hayat
langkahku kian berat mengheret waktu
bergetar temulangku menghambat usia

Hantarkan aku pulang
seusai siang menjengah malam
bersama seberkas kenangan
diiringi zikrullah
dalam persalinan kasturi  kasih dan sayang.


Pena karya
Ros Silawati

kulepaskan




Kulepaskan kau lelayangku
kerana aku tidak mampu memaut benangmu
tidak mampu melawan inginmu menerjah ke awan
tidak mampu menongkah  takdir untukmu

kulepaskan kau lelayangku
sedang hati sarat kasih dan sayang
setelah sekian lama  kubelanjakan masa
meraut buluh usia
melarik dan melakar garisan warna
mengutip  perca-perca kaca

kulepaskan kau ke langit
dalam doa dan redhaku
biar angin deras merusuh menghambatmu
kerana itu inginmu.


Nukilan pena
Ros Silawati