Wednesday, 3 January 2018

AKAN TIBA JUA WAKTUNYA



Akan tiba waktunya nanti
Sekalian tangan kupaut  hiba
Ketika berkecainya pelepah harap
Kerana kita harus  permisi mengheret seberkas memori.

Perlahan-lahan bendera kita diturunkan
Selawat dan takbir kita iringkan
Sekalian mualim bertasbih dengan zikir yang paling panjang
Terasa akan hiba dalam esakan kecewa
Saat itu, kita hanya mampu meratap menatap sebidang bendera
Luluh sekalian jiwa dengan cinta yang tak pernah rapuh .

Akan tiba jua waktunya
Biarpun gelora amarah terpendam mencengkam
Namun kita hanya mampu  diam dan tergamam
Sekalian kita pasrah dan menyerah
Diam, yang tidak mampu menyembuhkan.

Kuselusuri  koridor  pelangi  yang kian  sunyi dan sayat
Tempat kita meramu mesra dan bahagia
Yang terbingkai usikan, gelak dan ketawa
Segalanya yang telah menjadi lopak-lopak  luka
Terbungkus  dalam gumpalan lara
Tertinta berdarah pada roh dan jiwa
Kerana di sini bukan lagi gelanggang kita.

Lolongan yang tidak didengari oleh siapa-siapa
Kibarkanlah kembali bendera kami
Kibarkanlah kembali bendera kami
Kibarkanlah kembali bendera kami

Waktu itu telah tiba
Bendera kita tiada lagi berkibaran
Tika  kita harus berpisah di sini
Bukan di persimpangan hayat dengan nesan kenangan
Tapi di sebuah wilayah pemakaman yang mengkafankan  kesemua yang disayangi
Segalanya  menjadi pengisi  kuburan
Air mata  yang entah untuk siapa dan kerana siapa

Waktu ini telah tiba
Kita bertukar ucap selamat tinggal
Saat  ini kita benar-benar telah kalah.


Ros Silawati 2 Januari 2018

No comments:

Post a Comment