siapakah yang memberikan api kepada anak kecil ini
lantas api itu
meratah jiwanya yang kosong
pada saat dia tiada siapa-siapa
pada saat dunianya sepi
ketika dia teraba-raba mencari jalan kehidupan
ketika dia menghulur tangan untuk berpaut
dia diracuni dengan gula-gula kehidupan
dia dimabukkan dalam pesta irama cinta
sehingga rebah dia dalam lumpur hanyir.
Pada saat kesakitannya
siapakah pula yang berkirim doa
sehingga mampu meredah kepekatan malam
sehingga ditemukan jalannya untuk pulang
sehingga mampu membalut dan menutup segala belirat luka pada
hati dan jiwanya
sehingga bisa mengheret tubuh kecilnya ke rumah Tuhan
Pada setiap untaian
air mata anak kecil ini
adalah doa dan penyerahannya pada Yang Esa
dihantar segala dendam dan lukanya
kerana pasti tidak akan ada gembira walaupun ada ketawa
kerana pasti tidak akan ada bahagia meskipun tampak ceria
hingga terlerai harapnya
dalam memaknai alur perjalanan
kehidupan hanyalah cermin dan kaca-kaca yang telah
berderai
bersama kesakitannya yang tidak pernah sembuh
angkara siapakah...