Akan tiba waktunya nanti
Sekalian tangan kupaut hiba
Ketika berkecainya pelepah harap
Kerana kita harus permisi mengheret
seberkas memori.
Perlahan-lahan bendera kita diturunkan
Selawat dan takbir kita iringkan
Sekalian mualim bertasbih dengan zikir yang paling panjang
Terasa akan hiba dalam esakan kecewa
Saat itu, kita hanya mampu meratap menatap sebidang bendera
Luluh sekalian jiwa dengan cinta yang tak pernah rapuh .
Akan tiba jua waktunya
Biarpun gelora amarah terpendam mencengkam
Namun kita hanya mampu diam dan
tergamam
Sekalian kita pasrah dan menyerah
Diam, yang tidak mampu menyembuhkan.
Kuselusuri koridor pelangi
yang kian sunyi dan sayat
Tempat kita meramu mesra dan bahagia
Yang terbingkai usikan, gelak dan ketawa
Segalanya yang telah menjadi lopak-lopak luka
Terbungkus dalam gumpalan lara
Tertinta berdarah pada roh dan jiwa
Kerana di sini bukan lagi gelanggang kita.
Lolongan yang tidak didengari oleh siapa-siapa
Kibarkanlah kembali bendera kami
Kibarkanlah kembali bendera kami
Kibarkanlah kembali bendera kami
Waktu itu telah tiba
Bendera kita tiada lagi berkibaran
Tika kita harus berpisah di sini
Bukan di persimpangan hayat dengan nesan kenangan
Tapi di sebuah wilayah pemakaman yang mengkafankan kesemua yang disayangi
Segalanya menjadi pengisi kuburan
Air mata yang entah untuk siapa
dan kerana siapa
Waktu ini telah tiba
Kita bertukar ucap selamat tinggal
Saat ini kita benar-benar telah
kalah.
Ros Silawati 2 Januari 2018