Aku hampir lupa akan harumnya aroma kopi panas
Kerana tertusuk akan hanyirnya sawah dan kerbau
Kesar keringat tubuh Si Pemutar enjin motorbot
Hapak gebar dalam gerobok duka
Kulihat garis-garis usia jelas seliratnya pada dinding wajah
Yang bergumpal dalam belirat kehidupan penghuni pulau kecil ini.
Secawan kopi di Gerai Pokok Ketapang tak dapat kunikmati aromanya
Juga hilang lemak dan manisnya
Apabila dendang anak laut Pulau Tuba menyapa kuping telingaku
Tentang kunang-kunang yang menemani malam
Dengan luka dan carik sayap
Sedangkan cahaya tetap ditelan kegelapan malam
Tentang pukat-pukat koyak yang saban hari ditenun semula
Untuk ditebar di laut terbuka
Berkali-kali pukat itu rabak
Dan berkali-kali pukat itu ditenun semula
Namun mimpi tentang mutiara yang ada di dasar samudera
Tidak pernah jadi kenyataan untuk mereka
Sekian lamanya mereka hanya ada deru ombak, kepah dan pasir pantai
Getir yang menjadi lukisan diri
telah sebati untuk mereka
Untuk sekian kali mereka bercerita lagi
Tentang pasrah mereka menunggu matahari pagi
Dengan sujud syukur walau tangkapan hanya untuk makan tengah hari
Dan membiarkan kunang-kunang bermain cahaya sehingga dinihari
Dan pukat-pukat koyak ditenun berkali-kali.
Gerai Pokok Ketapang kutinggalkan
Secawan kopi, kerusi kayu, dan pukat-pukat bergantungan.
Nukilan rasa:
Ros Silawati
11 Oktober 2017